Wednesday, April 14, 2010

Harian Metro - 12/04/2010

myMetro

Hati saya tak keruan

Oleh Abdullah Wahab
abwahab@hmetro.com.my
2010/04/12

“Hati saya jadi tak keruan tertanya-tanya apa yang berlaku. Tekaan saya tepat apabila seorang saudara beritahu, keluarga saya terbabit kemalangan maut,” kata Nur Hafizah Supian, 18, ketika ditemui di rumah mayat HTAR di sini, semalam.


Dia anak sulung Allahyarham Supian Salman, 41, yang maut selepas kereta Honda Civic yang dipandunya bertembung sebuah Proton Iswara yang terbabas dan memasuki laluan bertentangan di Kilometer 12, Lebuh raya Kesas menghala Pelabuhan Barat di sini, kelmarin.


Turut terkorban dalam kejadian itu empat sahabat baik yang menaiki Proton Iswara.


Nur Hafizah berkata, ketika kejadian, kereta yang dinaiki ayah, ibu dan dua adiknya dalam perjalanan pulang ke Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang, selepas menghantarnya untuk menemani neneknya yang dirawat di Hospital Selayang, dekat sini, kerana jangkitan kuman pada paru-paru.


“Saya bertolak ke Hospital Selayang kira-kira jam 4.30 petang dan ayah sempat duduk sana kira-kira sejam sebelum bertolak pulang.


“Itu kali terakhir saya bertemunya sebelum dia meninggalkan saya buat selama-lamanya,” katanya pilu.


Ditanya perubahan pelik yang berlaku ke atas ayahnya, Nur Hafizah berkata, tiada perubahan ketara ditunjukkan ayahnya, namun sejak kebelakangan ini, ayahnya suka menderma.


“Biasanya kalau ada orang minta duit, dia akan bagi tanpa banyak soal,” katanya.


Turut terbunuh dalam kejadian itu, empat lelaki yang menaiki Proton Iswara iaitu, N Vickneswaran, 19, Abdul Ahmad Mohamed Burukhan Rahim, 17, M Karthik, 16 dan C Vickneswaran, 15, manakala dua lagi penumpang dalam kenderaan itu dikenali sebagai dua lagi mangsa iaitu Syaril Saszean Supian, 10, dan Norizan, 13, masih dirawat di wad pemerhatian.


Isteri Supian, Fairuz Mohamad Sharip, 41, masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HTAR, anaknya, Syaril Saszean Supian, 10, dirawat di wad pemerhatian, manakala seorang lagi, Aisyah Maisara Supian, 6, dibawa pulang oleh keluarga ayahnya atas kebenaran doktor.


Kakak Supian, Sabariah Salman, 44, berkata kali terakhir dia berjumpa adiknya itu ialah kira-kira jam 5.30 petang di Hospital Selayang.


“Sebelum dia pulang, saya ada mengajaknya minum, tetapi dia menolaknya kerana ada urusan lain.


“Arwah anak tunggal lelaki daripada tujuh beradik dan kehilangannya sukar diganti,” katanya.


Sabariah berkata, arwah juga sempat menyuarakan hasratnya mahu menjelaskan semua bil hospital sebelum dia pulang.


Sementara itu, Muhamad Burhan Rahim, 48, bapa Abdul Ahmad Burukhan Rahim, berkata ketika kejadian, anaknya dalam perjalanan pulang dari Pulau Indah selepas mengajar taekwondo di sebuah sekolah di situ.


“Arwah anak saya pemegang tali pinggang hitam dan pada hujung minggu dia biasanya akan ke sekolah untuk mengajar taekwondo.


“Dia anak sulung daripada lima beradik dan anak harapan, tetapi hari ini (semalam) dia meninggalkan saya untuk selama-lamanya,” katanya yang bekerja sebagai peniaga roti canai di Seksyen 16, Shah Alam.


Bapa saudara, mendiang N Vickneswaran, Dr P Aathy, 57, berkata mendiang anak bongsu dari dua beradik dan seorang yang berdisiplin.


“Malah esok (hari ini) dia ada temuduga untuk masuk polis. Tapi cita-citanya itu hanya tinggal impian,” katanya.


Manakala kedua Ibu bapa Vickneswaran yang tinggal di Pantai Dalam tidak dapat ditemubual berikutan sebak kehilangan anak bongsunya itu.


Hubungi bahagian pengiklanan kami untuk tujuan pengiklanan dan tajaan di dalam Harian Metro Online .
© Hak cipta terpelihara The New Straits Times Press (M) Berhad

1 comment:

JPNIN Daerah Klang said...

salam takziah ..

mohon hantar detail arwah ke pej untuk tindakan insurans

tq - PPD Klang